Showing posts with label Sajak Merapu. Show all posts
Showing posts with label Sajak Merapu. Show all posts

30 June 2010

rumah usang itu

dulunya halaman bersih penuh dengan pohon bunga tanaman emak..

di bawah pokok salak inilah dulunya perigi yang jernih kami bersiram..

saban masa menatap mobil datang dan pergi di depan rumah ( Jerteh-Kuala Terengganu)..


'di pagar jarang' selalu berbaring lena ditiup angin lalu..


( Dedikasi untuk ayah dan mak )

rumah usang itu,
banyak menghimpun cerita gembira,
riang tawa gelak tetangga waktu daging menjadi gulai,
tangis gembira saudara kami menjengah dunia.

rumah usang itu,
merakam suara-suara ria hiba lirih zaman kecil,
waktu berebut ikan seekor berbahagi tiga,
semasa bermalasan untuk hapus lena dan ke sekolah,

tika bersatu kemas mengadap peti tv hitam putih,
saat mencapai timba bersiram di perigi jernih.

rumah usang itu,
menyimpan suara garau ayah mendidik kami,
menyelimuti kemas aroma masakan bonda,
menebarkan kasih-sayang seluas alam,
memejalkan daging menambah darah kami.

rumah usang itu,
telah meratah usia muda kami,
membiarkan dengan cepat kami dewasa,
melontar kami jauh dari pangkuannya yang mereput.


rumah usang itu,
aku kembali lagi hari ini,
bersama anak,isteri serta  keharuan,   
melihatnya dimamah usia dan makin tua .

anak-anak & isteri ku,
ini lah rumah berjasa..
dalamnya abah hidup dan dewasa,
dalamnya kami sepuluh beradik hidup bahagia,
walau hanya berbilik dua dan berdapur sempit.
terima kasih ayah-bonda..

syukur pada Allah yang merahmati..
rumah ini terlalu berharga..

Sungai Lerek
Setiu,Terengganu


1 Disember 2009


Salam ingatan untuk:
Nur Ashilah
Khairul Amri
Izatul Akmal
Naemah
Norhayati
Thalhah
Nurul Huda
Nur Asiah
Nur Syahrina
Nur Shafiqah

02 April 2010

Sebuah Rumah Cinta

SEBUAH RUMAH CINTA
Rumah itu dibina dengan cinta
Tiangnya menegak kesetiaan
Dindingnya menangkis dugaan
Atapnya memayung kebahagian
Dapurnya berasap kepuasan
Anjungnya melayar perasaan
Di pintu tersenyummenadah kepulangan
Di tingkap tercipta lukisan harapan
Halamannya penuh keharuman
Tempat menanti mimpi
Melangkah ke kamar diri
Perjalanan seni
Rumah itu dibina dengan insani
Berseri dilukis mentari
Bercahaya di akar bulan
Rumah yang dibina ituperlu disapu sampahnya
perlu dicuci tingkapnya
perlu disusun perabotnya
untuk mengisi sepasangkasih dan sayang
pengarang tiada nama
(kawe hanya menyalin sajak ini)
jun 2010

01 January 2010

isteri ku


kalau kau tahu ku cinta pada mu..
sedalam mana..
seluas mana..
pasti kau tak akan lepas ku setiap pagi..
pasti kau tak akan biarkan aku sendirian dijalan..

isteri ku,
apapun yang berlaku..
kau adalah cinta seorang lelaki yang terhebat bagi ku
kerana ia akan kekal selamanya

percayalahh..

januari 2010

10 December 2009

Parang-parang berjasa ini


Parang berjasa ini,
Dulunya begitu tajam bergetah,
Menumbangkan halban,mehe serta pulai,
Sekecil jari,
sebesar betis ,
sebesar peha,

Parang berjasa ini,
Buatannya kukuh berwaja tajam,
Bikinan Tukang Daud Jerteh,
Serta hasilan Tukang Mat Setiu.

Dengan parang ini,
Kami tumpahkan peluh ,
Kami habiskan tenaga jantan,
Di Sungai Siput.
Di Baruh Ara,
Di Alik Naik
Di Bukit Jelutung,
Di Atas Bukit,
Di Baruh,
Di Seberang,
Di Jelapang,
Di Guntung.
Di Felda Mengkawang.

Dengan parang ini juga,
Ku potong dan ku lumat hancur,
Pacat –pacat yang menjamah peha dan kaki,
Tak kala mandi peluh di tanah pusaka.

Dengan tajamnya parang ini,
Pernah juga menghiris jari ku,
Takkala baru mengenal apa erti batu asah.

Parang berjasa ini,
Ku rehatkan kalian sekarang,
Bukan kerana tidak lagi mampu
Menumbang halban,mehe atau pulai..
Apatah lagi senduduk,kirai atau…menerung

Bukan juga kerana muncul parang bermesin,
Yang memutuskan dengan pantas bukan tajam,
Yang meminta minyak sebagai balasan.

Cukuplah kalian berjasa,
Ingin ku wariskan pada anak-anak ku,
Inilah parang leluhur kalian,
Dengan parang ini tanah-tanah ini menjadi pusaka,
Dengan parang ini..
Allah tumbuhkan daging..
Menambahkan darah dalam nadi dan urat kami.

Sungai Lerek
10 Disember 2009

05 November 2009

di hospital ini ..


di hospital ini
ku lihat pelbagai wajah
mengharap
hampa
berserah
gembira
dan putus asa..

kerana yang terlantar..mungkin
bapa penyayang
anak taat
kekasih setia
suami pengasih
teman mesra
isteri mithali..

mengertilah aku..
kasih itu terus melimpah
walau di hospital..
walau di liang lahad..
dan simpati ku berjuraian..


Pusat Perubatan Universiti Malaya
5 November 2009

02 November 2009

unggun api 2


terima kasih kerana memadamkan api ini..
kerana aku dengan sedar alpa
membiarkan lembut apinya..
mengigit jiwa
menghiris hati

terima kasih kerana memadamkan api ini,
dengan bahang yg tak terasa..
membakar kita..
menghangus insan lain

terima kasih kerana memadamkan api ini,
buat ku tersedar dan terjaga
kita tidak mampu berunggun api
dalam dingin malam..
dalam rintik hujan..

terima kasih atas segalanya.

3 November 09
Damansara.

29 October 2009

Anjing-anjing yang menyalak


anjing-anjing yang menyalak itu,
begitu bekeng dan pengah,
lapar dan berkurap,
buncit malah yang nipis.

di depan mereka bukit gah kukuh,
lolong raung tiada erti,
hanya lapar dan dahaga mendatang.

anjing-anjing yang menyalak itu,
garang beraninya kerana ramai dan lapar,
bisingnya kerana tidak bertuan serta berumah,
dari bukit kukuh kejap ini,
marilah kita campakkan..
tulang juga najis,
agar anjing2 ini diam senyap,
kerana kita insan yang simpati.

anjing-anjing menyalak itu,
akan kembali bising dan riuh,
bilamana ramai dan lapar menjengah,
dan bersedialah kita kembali ,
memberi tulang
mencampak najis,
sebagai makanan mereka.

Sentul Pasar
30 Oktober 09

21 October 2009

seekor kuda besi kaku terbaring ..



(Dedikasi untuk penunggang motorsikal)

dalam dingin pagi ini,
perjalanan singkat menuju Sentul,
telusuri Penchala Link rentas Jalan Duta,
di depan Hentian Duta mata terpaku,.
seekor kuda besi kaku terbaring,
depan remuk belakangnya bengkok,
pemilik diri tiada di mana.

hati gementar terus tertanya,
tangis mana tumpah pagi ini,
darah siapa mengalir di sini,
ibu siapa yang hilang zuriat,
laila mana kehilangan majnun
anak siapa menjadi yatim,
gadis mana kehilangan tunangan,
isteri mana menjadi janda.

hati rawan malah terganggu,
kerana aku yang memacu kuda besi ini,
adalah jua bapa pada puteri-putera manja,
suami pada isteri setia,
jua anak pada ibu berjasa.


Ya Allah..selamatkan lelaki itu.
Ya Allah..selamatkan kami.


20 Oktober 2009
Damansara.

... kasihanilah kami wahai pemandu kereta...

akulah semut yang telah mati..


dalam waktu tersisa ini,
biarlah terus berteman tanpa mesra,
kenali mu satu anugerah ternilai,
pada lelaki yang sukakan persahabatan.

dalam waktu tersisa ini,
bicara mu penuh manis gula,
sedangkan aku semut yang telah mati,


langkaui hidup seorang lelaki,
hanya dua jalan seorang wanita,
perkahwinan juga persahabatan,
tiada kenal apa makna permusuhan

dalam waktu tersisa ini,
lembut bicara menghiris hati,
sejuk kata membakar ingatan..
atas apa akan ku rakam kenangan,
dengan simpul manis bicara?
Dengan ayu lengguk ayunan langkah?..
Kerana aku lah itu..
semut yang telah mati..
dengan manis gula mu.

20 Oktober 09
Damansara

17 October 2009

Pasar Karat di lorong tua sebuah kota lama







Lorong tua di sebuah kota lama

(Dedikasi untuk seorang teman, Shafie Othman)

Di lorong hanyir basah ini..
Cerita sedih,duka dan rianya sebati..
Peraihnya muda dan senja bersama senada..
Di sini jual beli pantas menjadi mesra.

Di lorong tua ini,
Ku jejaki lagi selepas bertahun menjauh,
bila rasa rindu kenangan lalu menerpa hiba.
ku cari usia semalam namun tak tersua..
Dapat dititip hanyalah kenangan lalu..

Di lorong tua ini,
Celah padat asak pengunjung,
Bau masam dan tengik peluh seakan halwa ajaib..
Dan hingar bingar suara bagai muzik mempesona..
hentikan sekejap detik masa usia.

Di lorong tua ini,
terpandang seorang tua berwajah tenang,
depan kakinya nya beralas akhbar renyuk,
Kasut dan baju usang tersusun rapi,
Menyapa mesra menangkap simpati.

Di lorong ..di Pasar Karat,
ku temui ramai insan tua dan berkarat,
telah habis perkasa muda remaja,
aku pun akan senja dan malam.,
semilir tajam kota menghakis sadur ku,
membuat diri haus dan gelupas,
Langkah ku pun semakin hampir,
Ke pelabuhan abadi ciptaan illahi.
Sungai Penchala
17 Oktober 2009

16 October 2009

Mereka yang kehilangan tanpa pernah memiliki

lelaki tua itu merah matanya,
telah habis air mata yg tumpah dari redup mata,
telah serak suara yang mengguman dari pecah bibirnya,
tanah sekangkang kera itu dirampas diambil jua,
manggis,durian,kelapa dan duku dimamah jin besi.
atas sebab 'tanah ini tanah haram..demo tak berhak'

anak kecil itu merah matanya,
telah habis raungan dari halkum kecil,
telah kering air mata di pipi mongel,
akhirnya mainan itu diambil jua,
atas sebab'mainan ini kawan pinjamkan"..

aku ini merah jua hatinya,
kau yg datang dengan penuh pesona,
bicara yang lembut menghiris hati,
langkah yang lembut membuai jiwa,
namun aku tiada terdaya apa,
dan kehilangan ini amat menyeksakan,
kerana aku tidak pernah memiliki.

Universiti Malaya
1999

unggun api 1


unggun api yang marak itu,
aku dan kaulah tuannya,
nyalakan dari bara hangat ghairah,
hidupkan sumbu rindu menyala.

unggun api yang marak itu,
penuh dengan cahaya indah pesona,
aku dan kau jua penonton setianya,
menatap ralit tanpa bosan,

unggun api yang marak itu,
menghangat dingin malam sepi,
membakar realiti menukar fantasi,

bertambah detik ku rasa,
bahang makin panas dan tajam,
marilah kita kecilkan api nya,
agar nyala tenang serta suam,
dan kita bersama nikmatinya,
sepanjang jaga malam ini.

Sentul Pasar,
Perkhemahan Badan Beruniform 2009
23 Oktober 2009
Terbitkan Catatan

jangan simpan jarum itu...




aku dan kau adalah teman,
walau senyum sapa tanpa mesra,
walau gelak tawa tanpa bicara,
ingatkan tiada sembilu tajam,
berakar kejap kukuh di hati.

yang nyata aku silap tanpa sedar,
terkeluar api sekam tertahan lama,

jangan simpan jarum patah itu,
kerana karatnya akan merosak hati,
tajamnya mencucuk waras akal,
sakitnya membunuh jujur diri.

jangan simpan jarum patah itu,
kelak jari mu tercucuk luka,
darah mu memerah pekerti,
parutnya kekal membekas jiwa.

Sentul Pasar,
24 Oktober 2009

08 October 2009

seorang murid




dalam mata mereka ini..
ku lihat jernih dan suci..
manja dan mengharap..
kasih serta luhur.

dalam langkah mereka ini,
ku raih lincah dan ligat,
halus jua pantas..

di bibir ini,
bicaranya terlalu petah,
kekadang terlalu payah dan mahal,
kekadang ranum dan melebat.

di papan putih.. di buku tulis..
ingin ku ukir penuh cinta sayang..
kalian semua harapan bangsa..
berbahagialah kalian dunia & akhirat.

Seorang guru....


16 September 2009

Melaka.. selepas hampir 500 tahun















akhirnya tiba jua langkah,
di kaki kota Melaka,
bikinan feringgi laknat,
meratah rakus bumi tun tuah

di kaki kota ini,
terasa masih hangat dan panas,
perwira Melayu dgn payah mendaki,
menyising lengan menghunus keris pusaka,
depani bebola besi tiada bermata,
merebahkan susuk sasa menjadi kaku,
dan serasa bau harumnya darah mereka masih semerbak

mendaki bukit ini,
mendukung putera dan puteri,
terasa hiba dan sayu yang amat,
bagaimana dulu curam dan meranjaunya bukit ini,
dilicinkan dengan titisan peluh dan darah sang perwira,
meredah tanpa gentar dan pantang undur,
sedangkan aku dengan bertangga simen lelah dan lesu.

akhirnya aku tiba di sini,
di Kota A Famosa yang lahir dari nyawa dan maruah,
betapa gah dan kukuh..
kesayuan makin tebal dan mengakar,
dari puncak ku lihat Dataran Pahlawan..
yang begitu asing kini telah biasa dan sebati..
Jaya Jusco,KFC dan Carrefour merajai halaman.
inikah harga yang dibayar sang perwira ku..

15 Mei 09
Bandar Hilir
Melaka

15 September 2009

1 syawal









di pagi syawal ini..
ku pegang erat tangan ayah..
jari keras kematu itu..
dulu begitu kukuh menghayun parang
begitu kejap mengenggam cangkul..
mengisi perut 11 jiwa..

kini..
ku rasa genggaman tidak sekuat dulu..
tak sanggup menatap wajah tenangnya
air mata ini akan tumpah menerpa
hanya terdesis 'ayah..ampun amri atas segalanya"

di pagi syawal ini..
ku raih cium tangan emak..
jemari yang dulu lincah menggilir resepi..
begitu lazat dan nikmat..
untuk kami semua walau tidak insan lain
kini
ku rasa jemarinya telah letih lesu..
dan air mata ini tertumpah jua..

Ya Allah..
berkatilah dua insan mulia ini..
berilah kesihatan yang berpanjangan..
bahagiakan mereka ..
di dunia..
di akhirat..

Damansara

10 August 2009

Himpunan Mantera: Sekadar kenangan zaman lalu




SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN KEMERDEKAAN YANG KE-52 !


KITA PERNAH BERSAMA PADA 31 OGOS 1999

Puteri,
Kita pernah bersama di Dataran Merdeka,
dengan hasrat tonton perayaan kemerdekaan,
yang nyata kita lewat tanpa cepat,
berbaki cuma sampah dari banjiran manusia pulang,
mungkin keinsafan erti kemerdekaan,
mungkin kekaguman pada kerlipan busana peserta perarakan,

Puteri,
Kemudian kita masih lagi bersama di bawah Dataran Merdeka,
lihat jutaan Bangla bagai kita di Bombay atau Calcutta,
mencari rezeki di sini,negeri kaya, pribumi merempat,
walau sebagai kuli dan buruh biasa,
atau kita sebenarnya ke sana untuk lihat..
apakah tayangan Hindi seterusnya..
Badshah atau Taal?..

Puteri,
Kita bersama lagi di Muzium Sejarah Nasional,
memasukinya mungkin sempena hari bersejarah negara,
atau sekadar lari dari 'panas souh' mentari memijar,
dalamnya kita disejukkan oleh 'air cond'
lupa rasa panasnya darah pejuang negara mengalir!

Puteri,
Kemudian kita terus bersama di Pasar Seni,
yang dulunya tempat menjual madat dan betina,
dan sekarang kita melihat himpunan seni akal manusia kreatif,
yang menggunakan kepala otak dan bukannya kepala lutut,
dari perhiasan tembaga membawa kepada busana halus,
dari lukisan minyak kepada jeans Levis.
atau kita sebenarnya sekadar lihat pasangan 'bengong' muda bangsa,
berpegangan tangan bebas tanpa malu malah bangga,
kerana merekalah insan yang berakal.

Puteri,
Sebenarnya kita mula bersama di kedai mamak,
atas alasan ku untuk elak dari 'ketar'
lantas ku lahap roti canai bagai lapar seorang Somalia,
dan kau lihat ku 'tang kedaroh' dengan pelik,
untuk apa kita ke kedai ini Puteri?
sarapan pagi?
menambahkan sen mamak?
ingin lihat kau makan di depan ku sebenarnya!

Puteri,
Saat akhir kita bersama,
naiki LRT-bikinan teknologi canggih untuk pulang,
dari Pasar Seni lewati Bangsar,Abdullah Hukum, Kerinci dan Universiti,
untuk apa dengan 'menate' ini Puteri?
kerana tambang murah lagi cepat?
atau elak bersama ku dengan ACX 4155?
atas alasan yang kukuh dan kejap:
'Demo buke gewe kito'
dan hingga kini kita belum berkawan,
apakah makna 'bersama' hari itu...

10 September 1999
Universiti Malaya