10 August 2009

Himpunan Mantera: Sekadar kenangan zaman lalu




SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN KEMERDEKAAN YANG KE-52 !


KITA PERNAH BERSAMA PADA 31 OGOS 1999

Puteri,
Kita pernah bersama di Dataran Merdeka,
dengan hasrat tonton perayaan kemerdekaan,
yang nyata kita lewat tanpa cepat,
berbaki cuma sampah dari banjiran manusia pulang,
mungkin keinsafan erti kemerdekaan,
mungkin kekaguman pada kerlipan busana peserta perarakan,

Puteri,
Kemudian kita masih lagi bersama di bawah Dataran Merdeka,
lihat jutaan Bangla bagai kita di Bombay atau Calcutta,
mencari rezeki di sini,negeri kaya, pribumi merempat,
walau sebagai kuli dan buruh biasa,
atau kita sebenarnya ke sana untuk lihat..
apakah tayangan Hindi seterusnya..
Badshah atau Taal?..

Puteri,
Kita bersama lagi di Muzium Sejarah Nasional,
memasukinya mungkin sempena hari bersejarah negara,
atau sekadar lari dari 'panas souh' mentari memijar,
dalamnya kita disejukkan oleh 'air cond'
lupa rasa panasnya darah pejuang negara mengalir!

Puteri,
Kemudian kita terus bersama di Pasar Seni,
yang dulunya tempat menjual madat dan betina,
dan sekarang kita melihat himpunan seni akal manusia kreatif,
yang menggunakan kepala otak dan bukannya kepala lutut,
dari perhiasan tembaga membawa kepada busana halus,
dari lukisan minyak kepada jeans Levis.
atau kita sebenarnya sekadar lihat pasangan 'bengong' muda bangsa,
berpegangan tangan bebas tanpa malu malah bangga,
kerana merekalah insan yang berakal.

Puteri,
Sebenarnya kita mula bersama di kedai mamak,
atas alasan ku untuk elak dari 'ketar'
lantas ku lahap roti canai bagai lapar seorang Somalia,
dan kau lihat ku 'tang kedaroh' dengan pelik,
untuk apa kita ke kedai ini Puteri?
sarapan pagi?
menambahkan sen mamak?
ingin lihat kau makan di depan ku sebenarnya!

Puteri,
Saat akhir kita bersama,
naiki LRT-bikinan teknologi canggih untuk pulang,
dari Pasar Seni lewati Bangsar,Abdullah Hukum, Kerinci dan Universiti,
untuk apa dengan 'menate' ini Puteri?
kerana tambang murah lagi cepat?
atau elak bersama ku dengan ACX 4155?
atas alasan yang kukuh dan kejap:
'Demo buke gewe kito'
dan hingga kini kita belum berkawan,
apakah makna 'bersama' hari itu...

10 September 1999
Universiti Malaya



1 comment:

  1. Mentera buat Ramzi Ramli & Tun Azlan Tun Ahmad

    bermula di menara gading tajam menikam,
    dengan cemas dan keluh alam asing..
    renggang dari pelukan ayah bonda..
    terlontar sendirian di daerah jauh..
    menadah ilmu mengadap guru tersohor.

    dalam hari-hari pertama dan rawan..
    saat mee begitu manis berteman baldi..
    wajah mu lembut dan mempesona..
    tanpa sedar menghiris dan mengoyak hati..

    aku kah itu azianti..
    lelaki yang tewas sebelum berlawan..
    dipatahkan tangan dan kaki keberanian..
    untuk menangkis daya dan ghairah lelaki perkasa (Subhi kot??..)
    pada gadis yang lembut dan menyerah..

    azianti,
    aku kah itu yang selalu gugup mendepani mu..
    sedangkan kau tidak pernah tahu kewujudan itu..
    telah bertahun nama ini ku lupakan..
    tanpa pamitan selamat tinggal apatah senyum mesra..

    azianti adnan..
    hari ini ku tersebut nama mu..
    takkala lihat potret wajah gadis lalu..
    pada sisi zaman yang berubah..

    azianti,
    tetiba ku rasa kehilangan yang teramat,
    seolah dilucutkan segala sayap hidup..
    senyum manis bersama putra dan putri..
    entah pada siapa kehilangan ini..
    kerana aku tidak pernah memiliki…

    aziani,
    akukah ini...yang wujud tidak pernah diketahui mu..
    yang mendepani mu tapi tak mampu menghalang..
    yang cuba melontar kata tapi terkubur di halkum..
    yang rasa kehilangan walau tak pernah memiliki..

    azianti,
    tetiba aku tersebut nama mu..
    selepas 12 tahun berlalu dan ghaib..
    ingin sekali ketemu mu..walau wujud tidak diketahui..
    Megat Terengganu ini juga mampu gapai bahagia..
    bersama cita dan cinta..
    bersama putra dan puteri manja..
    dan lelaki yang tak pernah dicintai ini..
    telah kembali meraih cinta yang sudi.

    Alumni Persatuan Bekas Lelaki Yang Tidak Pernah Dicintai,
    Damansara,
    12.50 Pagi,
    15 September 2009.

    ReplyDelete