18 December 2009

Unggun Api 3




Kita nyalakan kembali unggun api ini,
berbekal bara hangat semalam,
berumpan kayu basah lembap,
bersama janji rapuh serta ragu.

berjanjilah pada ku,
jangan sirami lagi unggun ini,
dengan air mata kesedihan mu,
dengan tongkol kayu curiga mu.

berjanjilah pada ku,
sesama jagai unggun api ini,
sesama raikan api hangatnya,
panaskan kita di malam hening,
berdua temani sepi lewat ke pagi.

Kuala Berang,
19 Disember

10 December 2009

Parang-parang berjasa ini


Parang berjasa ini,
Dulunya begitu tajam bergetah,
Menumbangkan halban,mehe serta pulai,
Sekecil jari,
sebesar betis ,
sebesar peha,

Parang berjasa ini,
Buatannya kukuh berwaja tajam,
Bikinan Tukang Daud Jerteh,
Serta hasilan Tukang Mat Setiu.

Dengan parang ini,
Kami tumpahkan peluh ,
Kami habiskan tenaga jantan,
Di Sungai Siput.
Di Baruh Ara,
Di Alik Naik
Di Bukit Jelutung,
Di Atas Bukit,
Di Baruh,
Di Seberang,
Di Jelapang,
Di Guntung.
Di Felda Mengkawang.

Dengan parang ini juga,
Ku potong dan ku lumat hancur,
Pacat –pacat yang menjamah peha dan kaki,
Tak kala mandi peluh di tanah pusaka.

Dengan tajamnya parang ini,
Pernah juga menghiris jari ku,
Takkala baru mengenal apa erti batu asah.

Parang berjasa ini,
Ku rehatkan kalian sekarang,
Bukan kerana tidak lagi mampu
Menumbang halban,mehe atau pulai..
Apatah lagi senduduk,kirai atau…menerung

Bukan juga kerana muncul parang bermesin,
Yang memutuskan dengan pantas bukan tajam,
Yang meminta minyak sebagai balasan.

Cukuplah kalian berjasa,
Ingin ku wariskan pada anak-anak ku,
Inilah parang leluhur kalian,
Dengan parang ini tanah-tanah ini menjadi pusaka,
Dengan parang ini..
Allah tumbuhkan daging..
Menambahkan darah dalam nadi dan urat kami.

Sungai Lerek
10 Disember 2009

05 December 2009

DIY: Kampung Outdoor Lamp










Rumah kami di kampung memang di tepi jalan….. jalan besar Kuala Terengganu-Kota Bharu.. tetapi dari jalan besar ke rumah pada malam hari satu hal yang sangat ‘darkness’ juga kerana tidak ada lampu jalan.


Saya terpaksa ‘merepair’ sebiji ‘emegency lamp’ yang telah rosak.. meletakkan mentol Philips dan membuat sambungan dari lubang plug kat umah.. wayar elektrik saya letakkan didalam paip air dan membuat sambungan seperti paip air.untuk elak air dan juga sedikit bahaya kepada “bot-bot kecil”..

DIY: Membaiki kebocoran paip yang kecil-rumah mertua..he he

Letak penyambung 1/2 inc kepada 3/4 dan 'L' 1/2 inc..

Potong terus sambungan lama tu.

Punca kerosakan: Sambungan 'L' keluar air-gam lama


Alatan asas: Kenali sendiri la nabilllll..


membuat kerja2 d.i.y mungkin sesuatu yang leceh pada sesetengah orang.
bak kata pepatah..tak kenal maka tak cinta.saya juga tidak berminat
pada benda2 seperti ini.. membaiki paip... membaiki komputer..
tetapi selepas 'terlanjur' dengan benda2 ni.. saya mula sukakannya..

saya pasti kalau anda ringankan tulang..
anda bukan sahaja disukai oleh Ketua Kampung anda
malahan anda akan disayangi oleh mertua anda.

05 November 2009

di hospital ini ..


di hospital ini
ku lihat pelbagai wajah
mengharap
hampa
berserah
gembira
dan putus asa..

kerana yang terlantar..mungkin
bapa penyayang
anak taat
kekasih setia
suami pengasih
teman mesra
isteri mithali..

mengertilah aku..
kasih itu terus melimpah
walau di hospital..
walau di liang lahad..
dan simpati ku berjuraian..


Pusat Perubatan Universiti Malaya
5 November 2009

02 November 2009

unggun api 2


terima kasih kerana memadamkan api ini..
kerana aku dengan sedar alpa
membiarkan lembut apinya..
mengigit jiwa
menghiris hati

terima kasih kerana memadamkan api ini,
dengan bahang yg tak terasa..
membakar kita..
menghangus insan lain

terima kasih kerana memadamkan api ini,
buat ku tersedar dan terjaga
kita tidak mampu berunggun api
dalam dingin malam..
dalam rintik hujan..

terima kasih atas segalanya.

3 November 09
Damansara.

29 October 2009

Anjing-anjing yang menyalak


anjing-anjing yang menyalak itu,
begitu bekeng dan pengah,
lapar dan berkurap,
buncit malah yang nipis.

di depan mereka bukit gah kukuh,
lolong raung tiada erti,
hanya lapar dan dahaga mendatang.

anjing-anjing yang menyalak itu,
garang beraninya kerana ramai dan lapar,
bisingnya kerana tidak bertuan serta berumah,
dari bukit kukuh kejap ini,
marilah kita campakkan..
tulang juga najis,
agar anjing2 ini diam senyap,
kerana kita insan yang simpati.

anjing-anjing menyalak itu,
akan kembali bising dan riuh,
bilamana ramai dan lapar menjengah,
dan bersedialah kita kembali ,
memberi tulang
mencampak najis,
sebagai makanan mereka.

Sentul Pasar
30 Oktober 09

21 October 2009

seekor kuda besi kaku terbaring ..



(Dedikasi untuk penunggang motorsikal)

dalam dingin pagi ini,
perjalanan singkat menuju Sentul,
telusuri Penchala Link rentas Jalan Duta,
di depan Hentian Duta mata terpaku,.
seekor kuda besi kaku terbaring,
depan remuk belakangnya bengkok,
pemilik diri tiada di mana.

hati gementar terus tertanya,
tangis mana tumpah pagi ini,
darah siapa mengalir di sini,
ibu siapa yang hilang zuriat,
laila mana kehilangan majnun
anak siapa menjadi yatim,
gadis mana kehilangan tunangan,
isteri mana menjadi janda.

hati rawan malah terganggu,
kerana aku yang memacu kuda besi ini,
adalah jua bapa pada puteri-putera manja,
suami pada isteri setia,
jua anak pada ibu berjasa.


Ya Allah..selamatkan lelaki itu.
Ya Allah..selamatkan kami.


20 Oktober 2009
Damansara.

... kasihanilah kami wahai pemandu kereta...

akulah semut yang telah mati..


dalam waktu tersisa ini,
biarlah terus berteman tanpa mesra,
kenali mu satu anugerah ternilai,
pada lelaki yang sukakan persahabatan.

dalam waktu tersisa ini,
bicara mu penuh manis gula,
sedangkan aku semut yang telah mati,


langkaui hidup seorang lelaki,
hanya dua jalan seorang wanita,
perkahwinan juga persahabatan,
tiada kenal apa makna permusuhan

dalam waktu tersisa ini,
lembut bicara menghiris hati,
sejuk kata membakar ingatan..
atas apa akan ku rakam kenangan,
dengan simpul manis bicara?
Dengan ayu lengguk ayunan langkah?..
Kerana aku lah itu..
semut yang telah mati..
dengan manis gula mu.

20 Oktober 09
Damansara

17 October 2009

Pasar Karat di lorong tua sebuah kota lama







Lorong tua di sebuah kota lama

(Dedikasi untuk seorang teman, Shafie Othman)

Di lorong hanyir basah ini..
Cerita sedih,duka dan rianya sebati..
Peraihnya muda dan senja bersama senada..
Di sini jual beli pantas menjadi mesra.

Di lorong tua ini,
Ku jejaki lagi selepas bertahun menjauh,
bila rasa rindu kenangan lalu menerpa hiba.
ku cari usia semalam namun tak tersua..
Dapat dititip hanyalah kenangan lalu..

Di lorong tua ini,
Celah padat asak pengunjung,
Bau masam dan tengik peluh seakan halwa ajaib..
Dan hingar bingar suara bagai muzik mempesona..
hentikan sekejap detik masa usia.

Di lorong tua ini,
terpandang seorang tua berwajah tenang,
depan kakinya nya beralas akhbar renyuk,
Kasut dan baju usang tersusun rapi,
Menyapa mesra menangkap simpati.

Di lorong ..di Pasar Karat,
ku temui ramai insan tua dan berkarat,
telah habis perkasa muda remaja,
aku pun akan senja dan malam.,
semilir tajam kota menghakis sadur ku,
membuat diri haus dan gelupas,
Langkah ku pun semakin hampir,
Ke pelabuhan abadi ciptaan illahi.
Sungai Penchala
17 Oktober 2009

16 October 2009

Mereka yang kehilangan tanpa pernah memiliki

lelaki tua itu merah matanya,
telah habis air mata yg tumpah dari redup mata,
telah serak suara yang mengguman dari pecah bibirnya,
tanah sekangkang kera itu dirampas diambil jua,
manggis,durian,kelapa dan duku dimamah jin besi.
atas sebab 'tanah ini tanah haram..demo tak berhak'

anak kecil itu merah matanya,
telah habis raungan dari halkum kecil,
telah kering air mata di pipi mongel,
akhirnya mainan itu diambil jua,
atas sebab'mainan ini kawan pinjamkan"..

aku ini merah jua hatinya,
kau yg datang dengan penuh pesona,
bicara yang lembut menghiris hati,
langkah yang lembut membuai jiwa,
namun aku tiada terdaya apa,
dan kehilangan ini amat menyeksakan,
kerana aku tidak pernah memiliki.

Universiti Malaya
1999

unggun api 1


unggun api yang marak itu,
aku dan kaulah tuannya,
nyalakan dari bara hangat ghairah,
hidupkan sumbu rindu menyala.

unggun api yang marak itu,
penuh dengan cahaya indah pesona,
aku dan kau jua penonton setianya,
menatap ralit tanpa bosan,

unggun api yang marak itu,
menghangat dingin malam sepi,
membakar realiti menukar fantasi,

bertambah detik ku rasa,
bahang makin panas dan tajam,
marilah kita kecilkan api nya,
agar nyala tenang serta suam,
dan kita bersama nikmatinya,
sepanjang jaga malam ini.

Sentul Pasar,
Perkhemahan Badan Beruniform 2009
23 Oktober 2009
Terbitkan Catatan

jangan simpan jarum itu...




aku dan kau adalah teman,
walau senyum sapa tanpa mesra,
walau gelak tawa tanpa bicara,
ingatkan tiada sembilu tajam,
berakar kejap kukuh di hati.

yang nyata aku silap tanpa sedar,
terkeluar api sekam tertahan lama,

jangan simpan jarum patah itu,
kerana karatnya akan merosak hati,
tajamnya mencucuk waras akal,
sakitnya membunuh jujur diri.

jangan simpan jarum patah itu,
kelak jari mu tercucuk luka,
darah mu memerah pekerti,
parutnya kekal membekas jiwa.

Sentul Pasar,
24 Oktober 2009

09 October 2009

Pagar untuk si dia yang membuasss...

Gagal setelah mencuba...

Tengah menangis kerana gagal ke dapur.

3 engsel untuk menahan berat Husna/Aiman/Adam jika memanjat

Siap dengan selak untuk memudahkan penguncian

Bahan Mentah sebelum 'dirosakkan"

Saya sebenarnya telah menyiapkan satu pagar untuk Husna tetapi pagar itu diberikan kepada seorang kawan. maka dengan kelahiran seorang lagi hero, Muhammad Adam..
maka saya terpaksa memikirkan satu pagar baru untuk dia.

Saya telah mengambil dinding katil(rasa2nyalah).. yang dibuang.. dan memikirkan cara untuk dimanipulasi. Kos pagar dulu agak tinggi gak..mungkin kerana saya membeli semua kayu dan papan..hampir RM35 kot.. rasa2nya lah.. maka dengan terjumpanya dinding katil ini,saya hanya perlu membeli engsel dalam rm10.

Pagar yang saya buat dulu dipaku terus ke dinding dan menyukarkan sesiapa yang "fotogenik" untuk melangkah. Lagipun masa itu hanya kami berdua. Aiman dan Husna tidak dibenarkan ke dapur.
Sekarang mereka dah besar dan mungkin mahu ke dapur untuk minum air atau ke tandas..maka pagar berengsel perlu dibuat.

Tapi saya rasa ramai yang tidak mempunyai masa, maka lebih baik anda ke bengkel besi dan meminta mereka membuat pagar besi untuk anda dengan konsep yg sama seperti saya buat.. dalam RM90-100 . Jika berpindah,anda boleh membawa bersama atau menghadiahkan kepada Ketua Kampung anda.

D.i.y plug bapa tiri labi-labi


Plug bapa tiri labi2 telah sedia untuk digunakan:


Masukkan wayar sebelah menyebelah:


Gelendung kabel plastik:




Bahan asas la.. plug,wayar ..bla bla..


Tambah Imejkita biasa menggunakan plug bergulung yang kita panggil plug labi2. malahan saya rasa ketua kampung anda pun biasa menggunakan plug labi2.

saya tak mahu menceritakan tentang plug labi2 tetapi ingin merakamkan pembinaan seekor plug bapa tiri labi2.. plug ini diberi nama bapa tiri kerana ia mempunyai lubang plug dikedua2 bahagian.

saya telah menjumpai gelendung kabel plastik yang terbuang. maka terlintas dalam hati saya untuk membuat sendiri plug labi2.. tapi lebih diupgrade.. biasa kita jumpa hanya ada 2 atau 1 gang sahaja. maka saya membuat 4 gang. jangansebut tentang harga..saya bercakap tentang minat dan hobi sahaja.keraja jika anda rasa terlalu cerewet,anda boleh membelinya di Mydin yang berhampiran. saya ada melihat satu plug labi yg paling murah di Mydin iaitu RM9.00. jadi..apa yang saya mahu anda semua lihat bukan pada penjimatan harga tetapi pada hobi saya.manalah tahu anda juga berminat dalam d.i.y seperti saya. kita berkongsi ilmu..

08 October 2009

seorang murid




dalam mata mereka ini..
ku lihat jernih dan suci..
manja dan mengharap..
kasih serta luhur.

dalam langkah mereka ini,
ku raih lincah dan ligat,
halus jua pantas..

di bibir ini,
bicaranya terlalu petah,
kekadang terlalu payah dan mahal,
kekadang ranum dan melebat.

di papan putih.. di buku tulis..
ingin ku ukir penuh cinta sayang..
kalian semua harapan bangsa..
berbahagialah kalian dunia & akhirat.

Seorang guru....


04 October 2009

Projek Troli Barang Pasar




 dah siap..bersama kembarnya.....

letakkan bolt di tempat sepatutnya..kalau tak..terburai nanti....

 beg kain pakaian..lebih sesuai..besi pemegang lebih tinggi-panjang..
tak la sakit pinggang menyeret troli nanti di pasar.....

3. Letakkan aja bakul kecik dan ikat.

2. Rangka beg yang telah ditanggalkan

1. Beg sekolah yang telah pencen.

Saya buat ini untuk mereka yang suka buat kerja2 d.i.y. kepada mereka yang tak suka jangan la mengutuk dan mengata( nak beri komen pembaikan ok saje saya....)

1. ambil beg sekolah yang telah koyak dan tidak boleh digunakan lagi
kecuali bahagian roda dan penarik/pemegang beg tersebut.

2. buang/ceraikan bahagian beg dan bahagian rangka/komponen roda dan pemegang beg.

3. maaf.. saya tak sempat mencari benda yang sewajarnya sebagai kotak barang kerana pagi tadi
saya terpaksa ke Pasar Borong Selayang..maka saya telah menyambar sebiji bakul kecil
dan mengikatnya dengan dawai ke bahagian pemegang beg.

4. nampak macam tak siap..tapi saya telah gunakan dengan jayanya tadi. ramai jugak orang kat
pasar tadi yang menjeling troli saya tapi saya rasa bukan kerana kagum..saya rasa mereka
kata dalam hati 'kedekutnya..sampai buat sendiri troli".. ah lantakla.. kurang2 2 kg tongkol, 2 kg sardin, 1 kg selar, 1 kg daging, 1/2 kg tulang lembu, 1 1/2 kg ayam, 2 kilo bawang merah, 2 ikat daun sup, 1 kg udang, 2 ikat pucuk paku dan sekilo cili kampung disumbat dalam troli kecik tu..

.. saya akan upgrade troli ini. tadi guna hanya kerana darurat sahaja... terima kasih troli..

16 September 2009

Melaka.. selepas hampir 500 tahun















akhirnya tiba jua langkah,
di kaki kota Melaka,
bikinan feringgi laknat,
meratah rakus bumi tun tuah

di kaki kota ini,
terasa masih hangat dan panas,
perwira Melayu dgn payah mendaki,
menyising lengan menghunus keris pusaka,
depani bebola besi tiada bermata,
merebahkan susuk sasa menjadi kaku,
dan serasa bau harumnya darah mereka masih semerbak

mendaki bukit ini,
mendukung putera dan puteri,
terasa hiba dan sayu yang amat,
bagaimana dulu curam dan meranjaunya bukit ini,
dilicinkan dengan titisan peluh dan darah sang perwira,
meredah tanpa gentar dan pantang undur,
sedangkan aku dengan bertangga simen lelah dan lesu.

akhirnya aku tiba di sini,
di Kota A Famosa yang lahir dari nyawa dan maruah,
betapa gah dan kukuh..
kesayuan makin tebal dan mengakar,
dari puncak ku lihat Dataran Pahlawan..
yang begitu asing kini telah biasa dan sebati..
Jaya Jusco,KFC dan Carrefour merajai halaman.
inikah harga yang dibayar sang perwira ku..

15 Mei 09
Bandar Hilir
Melaka

15 September 2009

1 syawal









di pagi syawal ini..
ku pegang erat tangan ayah..
jari keras kematu itu..
dulu begitu kukuh menghayun parang
begitu kejap mengenggam cangkul..
mengisi perut 11 jiwa..

kini..
ku rasa genggaman tidak sekuat dulu..
tak sanggup menatap wajah tenangnya
air mata ini akan tumpah menerpa
hanya terdesis 'ayah..ampun amri atas segalanya"

di pagi syawal ini..
ku raih cium tangan emak..
jemari yang dulu lincah menggilir resepi..
begitu lazat dan nikmat..
untuk kami semua walau tidak insan lain
kini
ku rasa jemarinya telah letih lesu..
dan air mata ini tertumpah jua..

Ya Allah..
berkatilah dua insan mulia ini..
berilah kesihatan yang berpanjangan..
bahagiakan mereka ..
di dunia..
di akhirat..

Damansara